Ramai pesakit yang datang ke klinik bertanya apakah ubat-ubatan yang perlu ada sebagai persediaan jika alami sakit-sakit ringan.

Di sini saya kongsikan antara ubat-ubatan yang perlu ada ketika PKP.

Pemilihan ubat adalah bergantung kepada jenis sakit-sakit ringan yang biasa dialami oleh pesakit.

Antara sakit-sakit ringan yang sering berlaku atau boleh berlaku adalah seperti demam, sakit otot atau sendi, selesema, cirit birit, muntah atau loya, pedih hulu hati , dan gastritis.

Kadangkala faktor perubahan cuaca atau mengambil minuman sejuk yang kerap semasa di rumah boleh menyebabkan badan kita mula rasa seram sejuk dan rasa hendak demam serta hidung mula berair.

Selain daripada itu, bagi  yang alah kepada bulu-bulu halus haiwan peliharaan atau bulu pada tikar permaidani boleh menyebabkan selesema.

Oleh itu penting untuk ada sepapan ubat demam Paracetamol 500mg dan ubat selesema Loratadine 10mg. Namun sampai bila harus saya perlu mengambil ubat demam ini?

Sekiranya demam masih berterusan “on and off” walaupun telah mengambil ubat demam Paracetamol selama 3 hari berturut-turut, anda harus rujuk kepada doktor untuk pemeriksaan lanjut.

Mungkin demam tersebut adalah disebabkan oleh jangkitan kuman atau virus. Dalam situasi seperti ini, jangan tunggu lagi. Segera mendapatkan rawatan daripada doktor di klinik.

Selain daripada itu kita juga mungkin kerap mengemas dan membersihkan kawasan dalam dan luar rumah. Bagi individu yang tidak selalu membuat kerja-kerja berat mungkin boleh menyebabkan otot dan sendi berasa lenguh dan sakit-sakit.

Oleh itu boleh ambil ubat Paracetamol terlebih dahulu. Ambil ubat  ini selepas makan yer, kerana ubat ini boleh memberi kesan iritasi perut (sakit perut) jika diambil ketika perut kosong.

Bercerita pula tentang makan pelbagai jenis makanan semasa PKP, mungkin boleh menyebabkan seseorang itu mengalami situasi pedih hulu hati, sakit perut atau cirit birit jika berlaku keracunan makanan.

Situasi seperti ini semestinya memberikan rasa kurang selesa dan boleh mengganggu ‘Mood’ Work from Home kerana perut yang sakit atau asyik perlu ke tandas disebabkan cirit birit. Maka pengambilan ubat untuk mengatasi gelaja penyakit seperti ini dapat membantu.

Jika pedih ulu hati, saya akan ambil ubat anti-asid seperti Magnesium Tricilycate. Ubat ini perlu dikunyah terlebih dahulu dan bukan ditelan begitu sahaja.

Namun dalam kedua-dua keadaan di atas, kita tidak boleh bergantung kepada ubat anti-asid dan gastritis selama-lamanya. Jika situasi seperti ini kerap berlaku dan hanya lega sebentar setelah mengambil ubat seperti di atas, kita perlu rujuk kepada doktor untuk pemeriksaan lanjut. Ubat-ubat ini bukan untuk digunakan dalam jangka masa yang lama dan berterusan.

Cirit birit juga antara masalah kesihatan yang kerap berlaku semasa PKP. Mungkin disebabkan oleh terlalu banyak makan atau keracunan makanan.

Dalam situasi ini saya akan mengambil ubat Activated Charcoal terlebih dahulu. Mengambil ubat Activated Charcoal ini adalah bertujuan untuk menyerap toksin dalam perut dan usus kesan daripada keracunan makanan tersebut.

Sekiranya masih cirit pada esok harinya, disarankan untuk berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan nasihat dan rawatan ubat-ubatan yang bersesuaiaan.

Boleh juga jika hendak mengambil ubat cirit. Ubat ini akan mengurangkan pergerakkan usus seterusnya boleh memberhentikan keadaan cirit birit tersebut.

Elok ambil ubat Activated Charcoal terlebih dahulu untuk serap toksin dan dibuang keluar sebelum kita berhentikan cirit dengan ubat cirit

Jika kita berhentikan cirit tetapi masih ada toksin yang tidak diserap dan dibuang keluar, ditakuti akan menyebabkan kita demam dan berlaku jangkitan kuman pula.

Kadangkala mungkin akibat salah makan kita akan mengalami situasi muntah-muntah. Jika hanya sekali sahaja muntah, keadaan masih boleh diterima lagi, tapi jika muntah berkali-kali atau asyik loya tekak, susah juga ketika musim PKP

Jika dua keadaan di atas berlaku iaitu cirit atau muntah-muntah, semestinya tubuh kita akan kehilangan cecair dan garam mineral dengan jumlah yang banyak.

Sebab itu peting untuk ada Oral Rehydration Salt (ORS). Bancuh ORS dalam 1 cawan air dan minum untuk mengembalikan hidrasi tubuh semula.

Namun jika situasi cirit dan muntah sangat teruk sehingga kelihatan terlalu lemah, bibir kelihatan kering dan pecah-pecah, situasi seperti ini menujukkan bahawa terdapatnya keperluan untuk merujuk kepada doktor dan dapatkan rawatan di hospital. Dalam situasi ini keperluan lebih kepada hidrasi tubuh dengan segera melalui infusi cecair Normal Saline.

Begitulah antara ubat-ubat yang perlu ada ketika PKP. Walau bagaimanapun, ubat-ubatan ini cuma sekadar cadangan sahaja.

Banyak lagi jenis kombinasi ubat-ubatan yang boleh digunakan sebagai rawatan kendiri untuk merawat sakit-sakit ringan.

Dua perkara penting sebagai pesakit atau pengguna ubat mesti tahu dalam rawatan kendiri ini:

Pertama kita perlu tahu bila masanya perlu berhenti mengambil ubat untuk rawatan kendiri ini. Secara amnya jika kita telah menggunakan ubat-ubatan untuk tujuan merawat sakit-sakit ringan secara sendiri namun setelah 2-3 hari masih tiada kesan yang baik, maka di situ menunjukkan bahawa kita memerlukan rawatan dan pemeriksaan lanjut daripada doktor.

Kedua, perlu diingatkan bahawa ubat-ubatan yang dinyatakan dalam artikel ini sesuai dan serasi pada sesetengah individu sahaja. Bermaksud seseorang itu tiada sebarang alahan mengambil ubat-ubatan ini. Namun bagi individu lain mungkin ada yang alah terhadap beberapa jenis ubat-ubatan seperti ubat tahan sakit atau ubat demam.

Maka seseorang itu perlu tahu apakah ubat yang menyebabkan kesan alahan dan dapatkan nasihat daripada ahlinya

Jika anda perasan, tiada pun Antibiotik dalam senarai ubat-ubatan ini. Ingat antibiotik bukan ubat ajaib.

Antibiotik tidak boleh digunakan tanpa nasihat atau arahan doktor. Antibiotik memerlukan preskripsi kerana ia tergolong dalam ubat-ubatan kumpulan B dalam Akta Racun 1952.

Boleh simpan semua ubat-ubatan untuk PKP dalam sebuah beg kecil berzip atau kotak First Aid Kit. Namun perlu diingatkan agar sentiasa semak tarikh luput sebelum mengambil ubat-ubatan dalam simpanan ini dan simpan beg berisi ubat-ubatan jauh daripada cahaya, haba, kelembapan, capaian dan penglihatan kanak-kanak.

Peringatan: Cadangan ubat-ubatan ini mungkin tidak sesuai untuk golongan kanak-kanak, wanita yang hamil dan menyusukan anak.

Chenang Clinic menyediakan Kit Kesihatan Keluarga yang berisi senarai ubat-ubatan diatas.

Anda boleh beli dengan system Drive Thru. Boleh terus ke kaunter.

Sila hubungi Klinik di talian berikut untuk pertanyaan

04 955 1418 (Cawangan Pantai Chenang)

04 961 1421 (Cawangan Kuah)

04 970 5295 (Cawangan Kangar)